MALAYSIA CEMERLANG MENGANJURKAN PERTANDINGAN MEMANAH TRADISIONAL PERINGKAT ANTARABANGSA.
MALAYSIA MENDUNIA, DENGAN PENGANJURAN KEJOHANAN MEMANAH TRADISIONAL ANTARABANGSA.
Empat pemanah remaja berbakat akan mewakili Malaysia ke World Historical Archery Championships 2025 yang bakal berlangsung di Gyula, Hungary, dari 20 hingga 26 Ogos ini. Kejohanan bertaraf dunia itu menghimpunkan pemanah elit dari seluruh pelosok ASEAN dan menjadi medan penting menonjolkan warisan budaya melalui sukan tradisional memanah.
Wakil Malaysia yang telah menjuarai Kejohanan Memanah Tradisional Antarabangsa baru-baru ini ialah Muhammad Adam Mukhriz Saipulanuar (Lelaki Cilik bawah 14 tahun), Muhammad Hifzhuddin Zaidi (Lelaki Junior 15–20 tahun), Aira Imani Muhammad Zulfadhli (Wanita Cilik bawah 14 tahun) dan Dahlia Asira Abdullah (Wanita Junior 15–20 tahun).
Kejohanan tersebut turut menyaksikan penyertaan lebih 300 pemanah dari 10 negara ASEAN, termasuk wakil-wakil dari Thailand, Indonesia, Filipina, Singapura, Jordan, India dan Hong Kong. Pemanah memperagakan pakaian tradisional negara masing-masing, menjadikan kejohanan ini unik sebagai satu platform penyatuan budaya, warisan dan sukan.
Menurut Azmanizam Aziz, Pengerusi Kelab Pemanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (KPDBKL), kejohanan ini lebih daripada sekadar pertandingan sukan.
“Sukan memanah warisan bukan hanya tentang ketepatan dan kemahiran, tetapi juga tentang pemeliharaan identiti budaya. Ia menjadi jambatan hubungan diplomatik, pelancongan dan pendidikan serantau yang amat bernilai,” ujar beliau.
Sementara itu, Mohd Fadli Adha Mohamad Rashid, Presiden Persatuan Memanah Tradisional Kuala Lumpur (PMTKL), menyifatkan kejohanan ini sebagai manifestasi kepada kesinambungan tradisi bangsa yang wajar dipertahankan.
“Memanah warisan ialah lambang kekuatan budaya Melayu dan ASEAN. Kejohanan ini menjadi wahana menyatukan sukan, warisan dan pembangunan belia, dan seharusnya diperkasakan agar tidak lenyap ditelan zaman,” jelasnya.
“Lebih membanggakan, Malaysia telah diumumkan sebagai tuan rumah Kejohanan Memanah Bersejarah ASEAN HDH 2026 bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026. Acara ini bakal menjadi acara tahunan tetap yang akan merancakkan pelancongan sukan warisan serantau, sekali gus melonjakkan nama Malaysia sebagai peneraju sukan tradisional di peringkat antarabangsa,” tambah Mohd Fadli.
Sebagai langkah memperkukuh struktur pengurusan sukan memanah warisan, satu Memorandum Persefahaman (MoU) telah dimeterai bagi menerbitkan buku undang-undang rasmi pertandingan HDH-IAA dalam Bahasa Malaysia. Usaha kolaboratif turut dirancang bagi penterjemahan ke dalam Bahasa Indonesia, Tagalog, Hindi dan Mandarin, melibatkan rakan-rakan strategik dari ASEAN.
Malaysia turut diberi kepercayaan sebagai Pengerusi Memanah Bersejarah ASEAN 2025, dengan sokongan padu daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Ini sekaligus meletakkan negara pada posisi utama untuk mengetuai pasukan gabungan ASEAN ke kejohanan dunia di Hungary — satu pencapaian julung kali dalam sejarah penyertaan rantau ini.
Kejohanan di Kuala Lumpur turut diserikan dengan kehadiran Duta Hungary ke Malaysia, T.Y.T. Dr Petra Ponevacs-Pana, dan Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, yang menyampaikan geran padanan sukan bernilai RM100,000 bagi menjayakan acara dua hari tersebut di Taman Rimba Kiara.
Satu lagi pencapaian penting adalah penganjuran Mesyuarat Agung HDH-ASEAN pertama dan pemeteraian MoU antara negara-negara ASEAN di bawah HDH-IAA, sebagai komitmen jangka panjang terhadap pembangunan sukan warisan ini merentas sempadan.
Dengan gabungan bakat muda, komitmen kepimpinan dan sokongan padu pelbagai agensi, Malaysia kini bersedia melangkah lebih jauh sebagai peneraju sukan memanah tradisional di persada dunia — bukan sekadar sebagai sebuah pertandingan, tetapi sebagai satu perjuangan mempertahankan nilai dan jati diri budaya serantau. Rosscunn Abdul Aziz Kos Sarani Persatuan Memanah Tradisional Kuala Lumpur - PMTKL Persatuan Memanah Malaysia







