Road2Haramain Lancar Program Pembiayaan Khas Haji dan Umrah, Sasar Bantu 3,000 Bakal Jemaah.
Shah Alam, 31 Julai 2026 – Sempena Karnival Pelancongan Islamik PAPUH 2026 yang berlangsung dari Jumaat, 31 Julai 2026 hingga Ahad, 2 Ogos 2026, Inisiatif Road2Haramain yang diasaskan oleh Datuk Haji Abdul Rahim bin Haji Abdullah, dengan kerjasama Koperasi Kobesi Malaysia Berhad (KOBESI), Koperasi One Fintech Berhad (KOF), HS9 Technologies Sdn. Bhd. serta One Merchant Malaysia Sdn. Bhd., hari ini melancarkan Program Pembiayaan Khas Haji dan Umrah bagi membantu lebih ramai rakyat Malaysia merealisasikan impian menunaikan ibadah umrah dan haji.
Datuk Haji Abdul Rahim bin Haji Abdullah, selaku Pengasas Inisiatif Road2Haramain dan Penasihat HS9 Technologies Sdn. Bhd., berkata program ini merupakan satu inisiatif strategik yang menggabungkan pembiayaan patuh syariah, teknologi kewangan (fintech) dan pendigitalan hospitaliti bagi memudahkan urusan bakal tetamu Allah dari peringkat perancangan, pembiayaan, persediaan sehinggalah ke perjalanan ibadah mereka di Tanah Suci.
Program ini menyasarkan 3,000 bakal jemaah dengan kemudahan pembiayaan antara RM10,000 hingga RM70,000 bagi setiap pemohon yang layak. Permohonan akan diproses dalam tempoh tiga (3) hari bekerja, tertakluk kepada syarat dan kelulusan. Sejumlah dana pembiayaan sehingga RM60 juta disediakan bagi membantu lebih ramai umat Islam menunaikan ibadah umrah dan haji dengan lebih terancang dan selesa.
Menurut Pengerusi Koperasi Kobesi Malaysia Berhad, Datuk Saharudin Zainal Abidin, inisiatif ini membuktikan komitmen sektor koperasi dalam menyediakan penyelesaian pembiayaan yang lebih mudah diakses oleh masyarakat. Beliau turut mengalu-alukan orang ramai untuk menjadi ahli Koperasi Kobesi Malaysia Berhad bagi menikmati pelbagai manfaat dan kemudahan yang ditawarkan menerusi program ini.
Sementara itu, Pengerusi Koperasi One Fintech Berhad, Encik Sazali Shahid, berkata platform digital CLPP (Cooperative Loan Processing Portal) yang dibangunkan hasil kerjasama HS9 Technologies Sdn. Bhd. dan One Merchant Malaysia Sdn. Bhd., anak syarikat MobilityOne, akan mempercepat dan mempermudah keseluruhan proses permohonan pembiayaan secara dalam talian.
Beliau berkata, penggunaan teknologi digital ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan proses permohonan, malah memperkukuh ekosistem teknologi kewangan dan pendigitalan sektor koperasi, selaras dengan aspirasi Road2Haramain untuk menyediakan pengalaman yang lebih lancar, selamat dan efisien kepada bakal jemaah.
Datuk Haji Abdul Rahim turut menjelaskan bahawa Road2Haramain akan terus memperluaskan kerjasama strategik dengan agensi kerajaan, institusi kewangan, koperasi, syarikat pelancongan serta rakan teknologi bagi membangunkan ekosistem digital haji dan umrah yang komprehensif. Inisiatif ini diyakini mampu menjadi pemangkin kepada transformasi industri pelancongan Islam dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju inovasi digital dalam sektor haji dan umrah.
Orang ramai yang berminat mendapatkan maklumat lanjut mengenai Program Pembiayaan Khas Haji dan Umrah atau ingin menyertai Koperasi Kobesi Malaysia Berhad boleh mengunjungi reruai pameran sepanjang Karnival Pelancongan Islamik PAPUH 2026 atau menghubungi wakil program yang dilantik.
Comments
Post a Comment